Saturday 9 August 2014

Hargailah Rumah Warisan : Sebelum Kita Kehilangan Keindahan Senibina Melayu

Warisan Peninggalan Lama Terbiar
Oleh Wan Ramli Wan Muhamad
utusanterengganu@utusan.com.my

Rumah warisan yang ditinggalkan tanpa dipulihara di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 11 Jun Sekiranya berada di Kampung Losong di sini, anda tentunya akan menemui sebuah rumah lama yang ditinggalkan tanpa penghuni.

Sekali pandang walaupun kelihatan usang namun rumah tersebut bagaikan sebuah istana lama kerana mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk reka bentuk yang agak unik serta bercirikan tradisional.

Rumah warisan yang dibina pada 1850 di Kampung Losong Hj Su adalah kepunyaan Allahyarham Su Mohammed Salleh Mohammed bercirikan reka bentuk rumah Limas Belanda dan rumah bujang berpeleh kembar tiga.

Mengikut sejarah awal, rumah berkenaan didiami semua anak Su Mohammed Salleh dan apabila anak bongsunya meninggal dunia pada 2008, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar begitu sahaja.

Tinjauan mendapati rumah lama tersebut hanya menunggu masa untuk roboh kerana tiada pengawasan rapi oleh waris keluarga itu.

Seorang pekerja swasta Abdul Hadi Yusof, 40, berpendapat, rumah berkenaan boleh dijadikan tempat bersejarah negeri ini kerana banyak catatan sejarah berlaku terhadap Su Mohammed Salleh.

Katanya, sebelum ini, ramai pelancong luar singgah mengambil gambar di dalam kawasan rumah berkenaan namun apabila pagar utama dikunci, mereka hanya dapat melihat dari luar sahaja.

Sehubungan itu, dia menggesa kerajaan negeri mengambil langkah segera mewartakan rumah berkenaan sebagai tempat bersejarah kerana ia mampu memberi nilai sejarah yang tinggi.

Sementara itu, Ramlah Adam, 36, ketika ditemui berkata, rumah tradisi tersebut seharusnya dikekalkan kerana ia salah satu rumah lama bercirikan reka bentuk tradisional menarik dan unik.

Kata Ramlah, keunikannya tiada tandingan dan mampu menjadi aset penting untuk pelancongan negeri.

Apabila dikekalkan ia mampu menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara, selain menambahkan lagi destinasi tempat bersejarah, katanya.

Seorang pelancong, Abdullah Mamat, 55, pula menyarankan kerajaan negeri mengambil langkah yang perlu bagi memastikan rumah tersebut dapat dikekalkan.

Katanya, ini penting kerana sebahagian struktur rumah yang kian reput dan jika dibiarkan lama kelamaan akan runtuh.

Justeru, saya harap waris rumah berkenaan dan pihak kerajaan negeri mengambil langkah terbaik memelihara kegemilangan rumah warisan Su Mohammed Salleh agar boleh dijadikan tatapan generasi baru,  jelasnya.

Sumber Artikel :
© Utusan Melayu (M) Bhd 

*********************************************************************************************

Istana Khas Buat Che Sepachendera
Nurul Hidayah Hamid
Sinar Harian

SEPERTI Shah Jahan membina Taj Mahal untuk isterinya, Mumtaz Mahal, Istana Sepachendera, di Jalan Kampung Baru, di Alor Setar juga dibina khas Alharhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah buat isteri baginda, Che Sepachendera.

Reka bentuk istana lama dikenali Istana Kampung Baru yang dibina pada tahun 1882 ini, iaitu selepas baginda menaiki takhta, menyerupai reka bentuk Siam.

Antara putera puteri yang diputerakan di istana terbabit, termasuklah Tunku Ibrahim (Tunku Sulung), Tunku Rokiah, Tunku Zamzam dan Tunku Kasim (Tunku Laksamana).

Istana lama jadi sekolah
Berdasarkan catatan batu penerangan di hadapan binaan terbabit, istana lama ini masih didiami selepas kemangkatan Che Sepachendera, apabila dijadikan sebuah sekolah.

Menurut Tunku Mansor Tunku Kasim, yang juga cucunda kepada Sultan Abdul Hamid, pada peringkat permulaan, istana terbabit menjadi keutamaan buat golongan kerabat diraja mendapat pendidikan awal mereka.

“Tidak lama kemudian, ia dijadikan sebuah sekolah Inggeris dikenali sebagai Sekolah Perempuan Kampung Baru pada 1922 atas usaha Tunku Ibrahim yang mementingkan pendidikan.

“Apabila sekolah dipindahkan ke Jalan Langgar, dekat sini, sebagai sekolah Menengah Sultanah Asma, ia dijadikan pula Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim dan cawangan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah,” katanya.

Tunku Mansor berkata, istana yang pernah menjadi tempat kelahiran ayahandanya, Tunku Kasim merupakan antara lambang kemegahan kerana keunikan reka bentuk dan ukirannya.

Hampir 80 peratus rosak
Namum, beliau memaklumkan, istana lama berkenaan terbiar kosong semula tidak lama kemudian.

“Kini, istana lama berhampiran Sungai Raja, di sini, dilihat tidak berpenghuni mahupun digunakan lagi. Lebih kurang 60 hingga 80 peratus struktur binaannya kian rosak,” katanya.

Antara struktur dalaman dan luaran istana lama rosak termasuklah bahagian bumbung, tiang rusuk, tingkap dan serpihan lantai akibat dicengkam sejenis pokok menjalar.

Tinjauan Sinar Harian mendapati isana lama berkenaan sudah pun menjadi sarang kelawar, manakala lantai bangunan tiga tingkat sudah mereput di sana-sini.

Sebagai cucunda, katanya, mereka sememangnya meminta perhatian pihak bertanggunjawab supaya bangunan tinggalan sejarah terbabit dapat dikekalkan.

Miliki nilai sejarah tinggi
Untuk itu, beliau bersama rakan pengkaji sejarah sedaya upaya mempertahankan istana daripada ditelan zaman antaranya cuba membangunkan rekaan asal bangunan.

Secara persendirian, katanya, perasaan kecintaan terhadap warisan sejarah sedemikian sudah menjadi darah dagingnya, maka beliau berharap kemungkinan tersebut jadi kenyataan.

Dalam usaha memelihara dan memulihara warisan bernilai tinggi ini, kami mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan lukisan reka bentuk asal istana terbabit,” katanya.

Melalui sejumlah peruntukan kos kewangan, katanya, pihak mereka meminta kerja membaik pulih istana dipercepatkan kerana ia dikhuatiri lenyap suatu hari nanti.

Walaupun ada kekangan, bagaimanapun mereka harap dapat bekerjasama dengan jabatan berkaitan seperti muzium menggunakan pendekatan tertentu bagi mengatasi cabaran ini.

Katanya, mereka sedia mempertahankan istana lama yang berpotensi menjadi warisan sepanjang zaman terbabit bagi memberi peluang generasi masa depan menghayati nilai sejarahnya.


No comments:

Post a Comment