Tuesday 5 August 2014

Pemuliharaan Rumah Warisan : Meneruskan Kelestarian Senibina Melayu

Apa Itu Pemuliharaan ?
Pemuliharaan membawa maksud usaha yang diambil untuk membaik pulih sesebuah rumah, bangunan, monumen, artifak atau tapak binaan bersejarah agar ia dapat terus dikekalkan dalam bentuk asal seperti mana ianya mula dibina.

Keutamaan dalam kerja-kerja pemuliharaan ini adalah usaha untuk memelihara senibina tersebut seperti mana ianya mula dibina dan usaha ini dilakukan sama ada menggunakan bahan, kaedah atau kerja-kerja perawatan yang sama atau hampir sama seperti mana ianya dibina.

Usaha ini dijayakan melalui proses penggantian, peneguhan atau pembuatan semula struktur-struktur rumah, bangunan, monumen, artifak atau tapak binaan bersejarah tersebut. Proses ini perlu dilakukan dengan kaedah yang tepat dan betul agar ia tidak merosak atau memusnahkan nilai warisan yang terdapat pada rumah, bangunan, monumen atau tapak binaan bersejarah tersebut.


Kepentingan Usaha Pemuliharaan
Pada asasnya kepentingan usaha pemuliharaan ini terletak kepada keinginan untuk mencari dan menyimpan maklumat mengenai sejarah lampau dan identiti sesuatu bangsa. Ia mempunyai nilai yang tersurat dan tersirat yang boleh dihayati dan dihargai oleh generasi bangsa tersebut di masa hadapan.

Antara kepentingan usaha pemuliharaan rumah warisan ini adalah dari sudut sejarah warisan, ianya merupakan peninggalan yang berharga untuk dipelihara dan dikekalkan bagi tatapan generasi kini dan akan datang terhadap senibina orang-orang Melayu terdahulu.

Jika dilihat dari segi senibina ternyata bahawa kehalusan hati budi orang-orang Melayu dahulu turut sama diterapkan dalam ukiran dan binaan yang mereka bangunkan. Ini dapat dilihat pada tangga, pintu, tingkap, tiang, dinding, bumbung yang dibina dengan identiti tersendiri serta seni ukir yang sangat halus.

Apabila sesuatu senibina itu dibangunkan dengan keunikan dan keindahannya yang tersendiri pastinya ia boleh menghasilkan sesuatu yang bernilai komersial. Rumah warisan ini boleh menjana sumber pendapatan berterusan sekiranya ia dijaga dan dipulihara dengan baik. Keindahan senibina pasti akan menarik pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara untuk datang berkunjung dan ini turut sama menjana pendapatan dari sudut pelancongan.

Terdapat beberapa buah rumah warisan di negeri Melaka ini dibina tanpa menggunakan sebatang paku. Secara logiknya perkara ini mustahil untuk berlaku masa kini, namun kepakaran dan pengetahuan yang ada pada orang-orang Melayu dahulu mampu menghasilkan sesuatu yang sukar untuk diterima akal. Ini memberi ruang kepada kita untuk mendapatkan ilmu pengetahuan untuk kita mempelajari dan mengkaji keistimewaan senibina yang ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu.

Berikut adalah contoh kerja-kerja pemuliharaan yang telah dijalankan ke atas rumah warisan melaka :

Rumah Penghulu Abdul Ghani
Sumber Artikel : 
http://www.heritage.gov.my/index.php/konservasi/konservasi-bangunan/bangunan-tradisional/rumah-penghulu-abdul-ghani

 
Sebelum Kerja Konservasi
Semasa Kerja Konservasi
Selepas Kerja Konservasi
Rumah Penghulu Abdul Ghani bin Abdul Majid di Merlimau, Daerah Jasin, Melaka ini adalah antara Rumah Melaka tertua yang masih berdiri megah dan merupakan antara rumah Tradisional Melayu yang tercantik di negara ini. Ia mempunyai seni bina yang sangat unik dengan gabungan gaya seni bina Melayu, Cina dan Eropah. Skala rumah ini adalah jauh lebih besar dari ukuran lazim Rumah Melaka.
Rumah ini pernah didiami oleh seorang ketua masyarakat yang menjawat jawatan Demang atau Ketua Penghulu iaitu Penghulu Abdul Ghani bin Abdul Majid dan anaknya Penghulu Natar bin Abdul Ghani. Segala peralatan perabot gaya Eropah seperti meja, almari, kerusi dan katil yang diguna pakai di dalam rumah ini berbeza dengan cara tradisional Melayu seperti kebiasaannya yang hanya duduk bersila.
Rumah ini mempunyai dua buah komponen rumah yang bersambung menjadi satu. Rumah Melaka iaitu Rumah Bumbung Panjang Tiang Enam Belas terletak pada bahagian belakang merupakan kediaman rasmi keluarga Penghulu. Manakala Rumah Limas Johor yang bersambungan menjadi anjung terbuka kepada Rumah Melaka berkenaan. Di sinilah Penghulu Ghani mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung di mana bangku panjang gaya Victoria dibina pada sepanjang sisi anjung untuk duduk bermesyuarat.
Rumah ini diilhamkan oleh Penghulu Abdul Ghani sendiri dan dibina oleh beberapa Tukang Cina. Oleh itu tidak hairanlah terdapat motif-motif Cina menghiasi dinding, pintu, tingkap dan pagar rumah ini. Pengunjung akan disambut dengan tangga batu Melaka yang sangat elegan berturapkan jubin berhias pelbagai warna yang diimport. Ia diapit oleh dua buah kolah air serta tiang berhias sebiji buah nenas sebagai lambang kemakmuran di kiri dan kanan tangga.
Terdapat sepasang pintu unik dengan hiasan dua ekor naga berlaga terletak di antara ruang verandah dengan anjung. Selain itu juga, motif flora dan burung pada kepala pintu, tingkap serta pelamin yang jarang terdapat pada rumah-rumah Melayu asli menyerlahkan lagi seni pertukangan gaya Peranakan Cina yang dibina kekal di Rumah Ibu.
Rumah Belakang dan Rumah Dapur dipisahkan dari Rumah Ibu dengan sebuah halaman dalam (courtyard). Ia mempunyai dua buah pintu masuk di sebelah sisi dan belakang dengan rekabentuk Cina berbumbung genting Belanda. Di ‘courtyard’ ini juga terdapat sebuah kolah besar untuk membasuh kain serta sebuah bilik mandi tanpa bumbung yang juga mempunyai kolah besar.
Bumbung Rumah Anjung, Rumah Ibu dan Rumah Belakang dibina dari zink iaitu bahan bumbung yang eksklusif pada masa itu. Manakala bumbung Rumah Dapur adalah dari genting India. Keseluruhan bangunan ini dicat dengan motif mempunyai pelbagai warna. Ini merupakan pengaruh senibina Cina kerana rumah-rumah tradisi Melayu lazimnya mengekalkan warna kayu tanpa dicat.
Bagi menyelamatkan khazanah Negara yang tidak ternilai ini, Jabatan Warisan Negara telah melaksanakan kerja-kerja baikpulih pada keseluruhan bangunan termasuk membaikpulih dan memperkukuhkan struktur tembok dinding dan tiang konkrit yang rosak, mengikis dan mengecat semula, menanggal dan memasang jubin seramik, meroboh dinding tambahan, membaikpulih struktur kerangka dan kemasan bumbung serta lain-lain kerja berkaitan seperti membaikpulih pelamin, kabinet dinding, tempat memasak, kabinet dapur, kolah bilik air serta tiang dan pelbagai motif ukiran. Semoga usaha murni ini dapat meneruskan warisan peninggalan nenek moyang untuk generasi akan datang.



Keunikan senibina & Elemen Bangunan


Tiang Seri dan Pelamin gaya Peranakan Cina yang terletak di bahagian Rumah Ibu


Tiang di verandah dihiasi jubin pelbagai corak dan 
Ukiran hiasan dua ekor naga serta motif flora dan burung pada pintu pagar Peranakan di verandah.


‘Jeriji pagar musang’ di bahagian anjung dan 
Motif ukiran hiasan pelbagai warna serta tingkap ram kayu boleh laras terdapat di serambi.




Kerja-kerja mengikis cat dan memasang semula kepingan tingkap.


Kerja-kerja menyimen lantai dan membaikpulih kolah air yang retak.


Kerja-kerja menanggal dan menurunkan genting bumbung untuk pembersihan.

No comments:

Post a Comment